Perguruan Seni Tapak Suci (Kebatinan Tapak Suci)

SalaamullaaHu ‘alaikum.

Berikut ambo turunkan sedikit sejarah peguruan Tapak Suciyang terkenal di Kelantan satu masa dahulu.

Sejarah ini ambo ambil dari forum TapakSuci.Net yang disampaikan oleh Dato’ Nik Mohd Amar, Yang Dipertua PAS Pengkalan Chepa, Kelantan, salah seorang penanggung amanah al-marhum Abe Ya Kok Lanas, Guru Utama Tapak Suci

“Sejarah Tapak Suci adalah sebuah aliran seni mempertahankan diri yang berasal dari Pulau Jawa, Indonesia. Ia merupakan pusaka warisan Wali Songo (Sembilan Wali) yang terkenal dalam sejarah penyebaran Islam di Nusantara. (Kisah Wali Songo, insya-Allah akan saya paparkan dalam tulisan yang lain). Para Wali Songo telah mewariskan berbagai bentuk ilmu dan amalan hikmat yang diperturunkan dari satu generasi kepada satu generasi hingga sampai ke zaman ini. Seni Tapak Suci adalah salah satu amalan ampuh yang telah diwariskan oleh mereka. Sesuai dengan latar belakang ini, maka aliran silat ini dinamakan Perguruan Seni Tapak Suci (P.S.T.S.)

Perguruan Seni Tapak Suci muncul di Geylang, Singapura dalam tahun 60an melalui dua orang adik-beradik yang dikenali dengan panggilan Pak atau Pak Cik Aswan dan Pak Cik Moin. Kedua-dua beradik ini adalah Pengasas dan Guru Tua kepada Seni Tapak Suci. Menurut cerita Guru Utama , Pak Aswan telah memperolehi amalan Seni Tapak Suci melalui mimpi. Bagi memuaskan hati, beliau telah membuat penyelidikan tentang aliran ini hingga ke Tanah Jawa. Di sana beliau menemui ‘akar’ Seni Tapak Suci dan mendapat kepastian tentang kesahihannya. Setelah berpuas hati beliau kembali ke Singapura dan bersama-sama abangnya Pak Moin, mereka telah menyebarkan Seni Tapak Suci di negara tersebut. Penyebaran aliran silat ini tidak terhenti di Singapura bahkan telah melintasi Selat Tebrau hingga ke negeri Pahang. Dari sini, Guru Utama yang menerima ijazah dan amanah secara langsung dari kedua-dua Guru Tua tadi telah membawa Seni Tapak Suci ke Kelantan.

Pada awal tahun 70an, bagi memenuhi amanah Guru Tua, Guru Utama telah mengambil tiga orang murid sebagai pewaris di gelanggang pertama Seni Tapak Suci iaitu di Sungai Baru, Pengkalan Chepa. Dua daripada tiga murid ini berhenti separuh jalan. Hanya Yaakob (Abe Kob) yang kekal sebagai pewaris. Abe Kob merupakan jurulatih pertama Seni Tapak Suci yang membimbing murid-murid baru di Kelantan. Bermula dari sini Seni Tapak Suci mengembangkan sayap di seluruh negeri dengan kemunculan gelanggang-gelanggang baru di Kubor Maras, Langgar, Kok Pasir, Tanjong Mas, Padang Bongor, Gunong-Bachok, Panchor, Pulau Belanga, dan Sering. Kemunculan Seni Tapak Suci merupakan satu ‘ledakan’ pada waktu itu. Gelanggangnya menjadi tumpuan dan ratusan orang telah diterima sebagai pewaris aliran silat ini.

Para pewaris lapis pertama ini telah menjalani Majlis Khatam (Penamat) yang diadakan secara meriah di setiap gelanggang di seluruh Negeri Kelantan dalan tahun 1976. Majlis Khatam ini telah disempurnakan oleh Pak Moin yang datang secara khusus dari Singapura. Alhamdulillah saya merupakan salah seorang pewaris yang melalui upacara khatam ini pada tangan Pak Moin sendiri.

Setelah Majlis Khatam disempurnakan, Seni Tapak Suci terus mendapat sambutan hangat dari masyarakat. Memandangkan keadaan ini dan bagi membantu Guru Utama menyebarkan silat ini, dengan persetujuan kedua-dua Guru Tua, beberapa orang wakil guru telah dilantik. Antara wakil guru pada lapis ini ialah Abe Kar (Kubor Maras), Abe Min dan Abe Ya (Kok Pasir), Wan Daud dan Wan Yusof (Padang Bongor), Ustaz Shukri dan Penghulu Othman (Panchor). Dengan perlantikan wakil-wakil guru, Seni Tapak Suci memasuki lapis kedua dalam perkembangannya.

Tempoh lapis kedua ini menyaksikan perkembangan pesat Seni Tapak Suci dengan kemunculan beberapa gelanggang baru seperti Wakaf Baru dan Ketereh. Pada lapis ini ramai anak-anak muda terutama para pelajar diterima sebagai pewaris aliran ini. Keadaan ini berbeza dengan lapis pertama yang mana majoriti pewaris terdiri dari kalangan dewasa. Gelanggang yang paling aktif dan memainkan perasan besar dalam penyebaran Seni Tapak Suci pada lapis ini ialah Kok Pasir dan Padang Bongor (yang lebih dikenali sebagai Taman Koperatif, Tanjong Chat).

Walaubagaimanapun, kerana masalah peribadi, pada awal tahun 80an, Abe Min Kok Pasir telah meninggalkan Perguruan Seni Tapak Suci dan memperkenalkan aliran sendiri yang diberi nama Zulfatah. Aliran Zulfatah pada asasnya adalah Seni Tapak Suci yang telah ditokok tambah pada segi amalan dan gerakan jurus. Gelanggang Kok Pasir bertukar menjadi gelanggang utama Zulfatah. Setelah kematian Abe Min, gelanggang utama Zulfatah berpindah ke Chicha, Kubang Kerian. Gelanggang ini dikendalikan oleh Kamarulzaini, salah seorang murid kanan Abe Min. Kamarulzaini pada asalnya adalah pewaris Seni Tapak Suci yang menerima amalan ini daripada Abe Kar Kubor Maras.

Kemunculan Silat Zulfatah telah mencetuskan ketegangan antara Kok Pasir dan gelanggang-gelanggang lain, terutama Padang Bongor. Kecewa dengan pergolakan-pergolakan yang berlaku, Guru Utama telah mengundurkan diri dari dunia persilatan dan tidak lagi menerima pewaris baru secara terbuka. (Dalam suasana inilah saya menerima ijazah daripada Guru Utama sebagai wakil guru. Saya telah diberi amanah oleh beliau supaya ‘menjaga’ Seni Tapak Suci di Kelantan).

Catatan saya terhenti setakat ini kerana dalam tempoh pertengahan 80an dan awal 90an saya melanjutkan pelajaran ke luar negeri. Dalam tempoh ini maklumat tentang Seni Tapak Suci yang ada pada saya amat terhad. Saya mohon bantuan dan kerjasama para pewaris untuk melengkapkan catatan sejarah dalam tempoh tersebut.

Insya-Allah dalam catatan seterusnya saya akan memperkenalkan Guru Utama Perguruan Seni Tapak Suci di Kelantan untuk pengetahuan adik-adik seperguruan sekalian.”

Ambo tambah sedikit mengikut apa yang ambo terima sendiri daripada Guru Utama Tapak Suci Kelantan, al-marhum Abe Ya:

“Pakcik Aswan Hasan menerimanya daripada ‘seseorang’ yang datang melalui mimpinya. Orang itu mungkin telah melakukan safar ruh. Saat itu sebenarnya adalah saat kegundahan dan kesedihan Pakcik Aswan yang melihat penindasan orang2 kafir terhadap melayu Islam Singapura (Saya tidak dapat pastikan tahunnya). Di dalam mimpi itu, Pakcik Aswan telah diajarkan jurus dan amalan yang isi langsung jadi dengan  musabab kekeramatan pada orang itu, dengan izin Allah swt.
Setelah berfikir, akhirnya Pakcik Aswan telah memberitahu Abangnya Pakcik Moin mengenai apa yang telah berlaku. Dia telah menggunakan kaedah yang telah diajar orang itu untuk mengajar abangnya pula. Mereka telah berlatih disaat itu juga dan mereka cukup gembira kerana diri mereka telah terisi dengan satu ilmu jurus yang mereka fikirkan sebagai permainan ibu segala jurus batin. Hajat mereka untuk berjihad melawan kaum cina kuffar yang melakukan kezaliman pada masa itu di Singapura, akan tercapai. Namun tidak terhenti di situ sahaja. Pakcik Aswan telah bermunajat dan mengambil keputusan ke Indonesia untuk mendapatkan kepastian.
Di Indonesia, beliau telah melawat ke setiap maqam Wali Songo dan berdoa di sana. Setelah beberapa ketika di Indonesia, beliau telah di kunjungi ‘seorang tua’ dari pertapaan. orang tua itulah yang mengesahkan keilmuannya. Orang tua itu adalah waris keturunan Sunan Gunung Jati yang sedang dalam pertapaan dan tidak pernah keluar jika tiada hal yang mendesak. Malah waris keluarganya sendiri bukan semua yang boleh bertemu dengannya secara mudah. Saya tidak pasti samada yang sedang bertapa sekarang ini itu adalah orang itu kerana yang sedang bertapa sekarang ini, umurnya kalau tidak silap sudah ratusan tahun dan masih hidup sekarang ini. Ini diberitahu sendiri oleh salah seorang yang rapat dengan keturunan Sunan Gunung Jati di Indonesia sekarang ini. Yang memberitahu juga adalah di antara orang yang boleh masuk melalui pintu 9 (Pintu teratai) maqam Sunan Gunung Jati atas izin keturunan wali itu sendiri. kalau orang biasa, yang tidak mempunyai apa2 keistimewaan diberikan, hanya boleh sampai ke pintu ketiga sahaja.

Jadi dengan kata lain, ilmu ini sebenarnya bukan ilmu melalui mimpi, tetapi al-marhum Pakcik Aswan telah menerimanya secara musyafahah dengan waris keturunan Sunan Gunung jati sendiri. Saya akan cuab usahakan mendapatkan nama waris itu, jika diizinkan Allah swt.

Semoga memberikan sedikit pencerahan.”

berikut apa yang ambo tahu mengenai Zulfattah:

Abg Mi Kok Pasir telah keluar dari Tapak Suci kerana berniat membuka perguruan sendiri, Ilmunya sebenarnya bukanlah dari Ts sepenuhnya kerana sifat ‘energinya’ berbeza. beliau pernah memberitahukan kepada saya bahawa ada gurunya yang lain. Oleh itu segala permasalahan dan perkembangan dalam Zulfattah tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada Tapak Suci. Namun masih ada hal yang tak boleh ambo bukakan kepada umum demi menjaga nama baik orang tertentu. Lebih baik bersangka baik daripada sangka2 yang membawa binasa dan pecah belah ummaH.

******************

Amanat al-marhum Abe Ya, Guru Utama Tapak Suci Kelantan

Mengimbas kembali kenangan bersama dengan Guru tercinta Abe Ya di tahun terakhir sebelum beliau meninggalkan kita. Banyak perkara dan rahsia telah dibuka oleh Abe Ya. Di antaranya rasa kesedihan dan keluh kesah beliau terhadap tindakan ‘guru2 baru’ pada waktu itu yang tidak menjalankan haq sebagaiman seorang guru yang diamanahkan selayaknya sebagai ‘pembimbing’ pelajar2 mengenali istilah ilmu jihad fi sabilillaaH. Beliau juga kecewa dengan sesetengah guru yang ‘gila kuasa’. Sehinggakan sanggup meninggalkan perguruan dan menubuhkan ilmu baru yang beramalan lain tetapi ‘isi’nya adalah dari Tapak Suci, tanpa memohon keizinannya. Maka beliau telah mengamatkan saya agar setiap murid yang saya latih hendaklah di’jaga’ selayaknya sebagai seorang ‘Pejuang Islam’. Bukannya sebagai seorang ‘gedebe’ yang pantang dicabar walaupun cabaran itu tidaklah ‘setara mana’. Beliau juga berharap agar TS akan di’bersih’kan semula dengan ‘bersih’nya pegangan guru2 yang ada. Beliau turut menamakan orang yang beliau kagumi dan sayangi sebagai seorang yang jujur dan tidak lupa diri seperti al-Fadhil al-Ustaz Datok Nik Amar.

Oleh itu saya mewakili al-marhum Abe Ya, sebagaimana diamanahkan beliau dahulu, berharap agar guru2 generasi sekarang, juga guru2 generasi lama bersatu hati dan ‘membawa’ ilmu ini ‘selayak’nya sebagai ilmu persediaan jihad melawan nafsu diri dan melawan musuh2 Islam. Gunakan keilmuan ini, sebagaimana layakknya diperturunkan para wali dahulu sebagai ilmu ‘penyucian wadah diri’ dan ‘pembersih hati’ kerana akhir tujuannya sebenarnya hanya satu, mengenali KhaliqNYA sedaya diizinkan olehNYA. “Man’arofa nafsaH, faqad ‘arofa RobbaH”.

Insya AllaaH, saya akan menyokong ‘ketua’ yang taatkan AllaaH swt dan menjaga amanat perguruan dengan benar. Saya juga berharap al-Fadhil al-Ustaz Nik Amar dan guru2 tua yang lain, akan memainkan peranan sebaiknya sebagai seorang yang amat dipercayai guru utama untuk mengembangkan keilmuan di atas jalan haq.

Khusuuson ila hadhroti murrabbinaa wa masyaaikhina al-Fadhiilul Ustaazinaa Zakariyyaa al-haaj Ibn AbdullaaH, shai un lillaaHi ta’aalaa laHul faatihaaH…

WallaaHu a’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>